Gereja ini dibina sekitar tahun 1930 dan mula beroperasi pada 11 April 1931 mengikut catatab Buku Rekod Keanggotaan Gereja. Ini bermakna, usia gereja ini sudah mencecah 80 tahun. Sungguhpun rekabentuk gereja ini agak lama, tetapi menjadi simbol kebanggaan kita sebagai umat Kristian kerana bangunan gereja ini yang tertua di Malaysia.
Keunikan gereja SDA Seremban ialah keanggotaannya yang merangkumi pelbagai bangsa dan budaya. Kini, keanggotaannya terdiri daripada pelbagai kaum dari Sabah, Sarawak, Indonesia, Cina,India dan Orang Asli Negeri Seremban. Selain itu, gereja ini juga dihadiri oleh pelajar-pelajar antarabangsa khususnya dari Afrika seperti Zimbabwe dan Botswana yang menuntut di Kolej-kolej berhampiran dengan Seremban.
Memandangkan usia gereja ini sudah melebihi 7 dekad, terdapat terlalu banyak kerosakan yang berbahaya dan perlu diperbaiki atau diganti segera seperti Sistem Pendawaian Elektrik, struktur kayu, papan-papan siling, kerusi panjang dan kabinet-kabinet gereja. Ini kerana semua barangan ini telah buruk akibat dimakan anai-anai, tikus atau terkena hujan akibat bumbung yang bocor dan retakan pada dinding bangunan. Atas faktor-faktor keselamatan, komiti gereja telah memutuskan agar kerja-kerja membaikpulih bangunan gereja SDA Seremban dijadikan keutamaan kerana keselamatan para jemaat adalah tanggungjawab bersama.
Selain itu, pemasangan "sliding window","window grill" dan meninggikan tembok paggar perlu dibuat untuk mengurangkan bunyi bising disebabkan kesibukan jalanraya di sekeliling gereja. Justeru itu, gereja juga ingin memasang penghawa dingin kerana setakat ini gereja hanya dibekalkan 5 unit kipas yang usang. Keadaan dalam gereja yang panas menyebabkan suasana semasa kebaktian kurang selesa bagi para jemaat.
Oleh kerana keadaan lantai yang hanya disimen biasa dan kelihatan agak comot, komiti gereja juga mencadangkan sedikit perubahan dengan Pemasangan Jubin Lantai (tiles) supaya gereja kelihatan bersih. Selain itu, komiti gereja juga ingin menambahkan bilangan bangku panjang daripada 8 buah kepada16 buah untuk menampung kehadiran anggota yang semakin ramai dan sebagai persediaan gereja untuk menerima anggota baru yang mahu bergabung dengan Gereja SDA Seremban.
Selain dari itu, gereja ini juga memerlukan dapur, kabinet, bilik mandi, bilik stor dan peralatan audio visual seperti pemancar LCD, Skrin Putih dan sebagainya. Gereja ini juga perlu dicat semula di samping membuat verandah di bahagian belakang, sebagai pintu masuk utama gereja.
Disebabkan penambahan bilangan kehadiran anak-anak anggota dan anak-anak orang asli, komiti gereja mencadangkan untuk membuat bilik tambahan kelas kanak-kanak yang selesa di Parsonage (sebelah luar) dan ingin membeli van terpakai untuk digunakan mengangkut orang-orang asli yang hadir ke gereja setiap hari Sabat.
Untuk Makluman semua, 10% dari sumbangan ini akan digunakan untuk kerja-kerja penginjilan di Negeri Sembilan khasnya orang-orang asli. Kami mahu memperkuatkan lagi penginjilan terhadap kaum orang asli. Kami bersyukur kerana setakat ini,kami banyak menerima sumbangan dalam bentuk pakaian dari golongan perseorangan atau gereja-gereja yang lainuntuk kami agihkan kepada orang-orang asli. Rancangan kami pada tahun ini adalah untuk membuat tandas-tandas yang lebih baik dan cuba membantu memperbaiki kerosakan rumah-rumah mereka. Melalui projek ini, kita dapat mendekati mereka serta memenangi jiwa mereka.